ECHO HOUSE DAN FUJIFILM MENGUMUMKAN PERKEMBANGAN SELANJUTNYA KEPADA PERKONGSIAN MEREKA

KEJAYAAN PEMASANGAN ACUITY ULTRA SUPERLEBAR YANG PERTAMA DI DUNIA MEMBAWA KEPADA KERJASAMA SELANJUTNYA UNTUK PEMBANGUNAN PENCETAK YANG BARU

Kejayaan Echo House dengan Acuity Ultra baru dengan format superlebar sepanjang lima meter sejak pemasangannya pada bulan Jun 2018 telah menyebabkan syarikat ini bersetuju dengan fasa baru perkongsiannya dengan Fujifilm, yang akan menyaksikan pemasangan mesin yang baru. Pencetak baru tersebut, yang masih dalam pembangunan, akan membentuk tambahan baharu kepada set Acuity Ultra. Spesifikasi yang tepat masih belum disahkan, tetapi model format yang lebih kecil ini akan menawarkan konfigurasi penyorong cetak yang sama dan memberikan tahap kualiti yang sama pada kelajuan setanding dengan model 5 dan 3.2 meter yang kini tersedia di pasaran. Model baru ini akan dipasang di Echo House pada bulan Januari 2019.

Hideaki Kawai, Pengurus Kanan, Sistem Inkjet Format Lebar di ibu pejabat global Sistem Grafik Fujifilm di Tokyo telah mengunjungi Echo House pada bulan Oktober 2018 untuk melihat sendiri bagaimana Acuity Ultra beroperasi dan mengesahkan perjanjian untuk pemasangan model baru yang masih dalam fasa pembangunan.

“Fujifilm mempunyai sejarah yang panjang dengan Echo House,” kata En. Kawai. “Mereka telah menggunakan pencetak rata Acuity Select sejak tahun 2014 dan merupakan pelanggan dakwat Fujifilm sejak beberapa lama sebelum itu. Kini, sebagai tapak pemasangan Acuity Ultra yang pertama di seluruh dunia, Echo House merupakan rakan kongsi yang semakin penting kepada Fujifilm. Kami telah bekerjasama dengan mereka untuk memastikan mereka mendapat yang terbaik daripada mesin tersebut dan menggunakan keseluruhan potensinya, dan maklum balas mereka adalah sangat berharga. Kami gembira untuk melibatkan mereka dalam fasa pembangunan projek yang baru ini.”

Mark Cardwell, Pengerusi Echo House, memberikan pujian yang tinggi untuk Acuity Ultra. “Sejak ia dipasang, kami telah menggunakan mesin ini dengan sepenuhnya,” katanya. “Pelanggan kami merangkumi beberapa jenama mewah, jenama runcit dan kosmetik yang terkemuka di dunia. Mereka adalah pelanggan yang mencabar dan tahu apa yang mereka mahu, dan tidak akan menerima sebarang kekurangan. Mereka mengharapkan kualiti yang terbaik, serta masa pusing balik yang pantas dan berbaloi dengan harganya. Untuk mengekalkan pelanggan seperti ini, dan memberi mereka keyakinan bahawa mereka akan memperoleh nilai terbaik untuk wang mereka, kami perlu memastikan bahawa keupayaan teknikal kami adalah yang terbaik mungkin.

“Pencetak Acuity Ultra Fujifilm telah terbukti sebagai tambahan baru yang terbaik untuk Echo House,” kata Encik Cardwell. “Kami menggunakannya untuk mencetak pelbagai jenis papan tanda umum dan kerja-kerja POS, dengan mengambil kesempatan penuh ke atas lebar lima meter untuk mencetak substrat yang sangat lebar, dan mencetak ke beberapa gulungan secara serentak apabila perlu. Keupayaan untuk mencetak dakwat putih adalah sangat baik untuk aplikasi cahaya belakang berkualiti tinggi.

“Kami telah melihat peningkatan produktiviti yang ketara dan kami tidak ragu-ragu bahawa pelaburan ini telah meletakkan kami dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk mengekalkan akaun-akaun pelanggan bernilai tinggi dan memperoleh kerja-kerja baru dalam pasaran yang sangat kompetitif.”

Encik Cardwell menyimpulkan: “Kami mempunyai hubungan yang berjaya dengan Fujifilm sejak lebih daripada satu dekad lalu dan perkongsian ini telah menjadikan kami yang pertama di dunia untuk memasang Acuity Ultra. Kami tidak pernah berdiam diri, kami sentiasa memandang ke hadapan, dan berdasarkan pengalaman kami, Fujifilm mempunyai sikap yang sama. Peluang untuk memberi maklum balas secara terus bagi proses pembangunan mesin yang baru ini adalah sangat menarik dan memberikan kami peluang untuk memberikan nilai yang lebih baik kepada pelanggan-pelanggan kami.”

Echo House yang ditubuhkan pada tahun 1994 dan berpusat di sebelah barat daya London di UK, menawarkan perkhidmatan penuh hujung ke hujung, dari reka bentuk hinggalah pengeluaran dan pemasangan. Untuk mencapainya, ia menggunakan spektrum penuh kemudahan pengeluaran dalaman, dari peralatan cetak format besar yang terbaik hinggalah keupayaan pemfabrikatan multimedia yang mengagumkan.